19 June 2021

DEBARAN MENUNGGU KEPUTUSAN TEMUDUGA PENDIDIKAN USM

Assalamualaikum semua ❤️

Hari ini aku nak share dengan korang tentang debaran aku menunggu keputusan kemasukan ke universiti awam bagi sesi 2019/2020.

31/7/2019 ❤️

Tarikh yang paling bermakna buat diriku dan juga keluarga kerana pada tarikh tersebut keputusan UPU telah dikeluarkan bagi lepasan STPM 2018. Alhamdulillah aku berjaya ditawarkan kursus sastera dengan pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana perasaan aku ketika itu kerana aku berasa betul-betul bersyukur dengan nikmat yang diberikan. 

Secara jujurnya, semasa aku menjalani interview pada tempoh hari, aku berasa amat tidak berpuas hati dengan persembahan yang aku lakukan kerana aku berasa aku banyak melakukan kesalahan. Sebagai contoh, ketika aku diminta untuk membacakan teks bahasa Melayu di hadapan panel, aku memegang teks tersebut lalu ditegur oleh salah seorang panel bahawa jangan menyentuh teks tersebut. Aku masih ingat lagi kata-katanya yang berbunyi seperti ini 'Boleh tak jangan pegang teks tu?'. Aku berasa sungguh terkejut lalu dengan spontan aku berkata 'Oh sorry sorry'. Dan ketika itu baru aku tersedar Ya Allah kenapa aku jawab macam tu. Namun aku cuba untuk bertenang dan meneruskan pembacaan pada teks tersebut.

Semasa menjawab soalan dalam bahasa Inggeris juga aku berasa aku sangat lemah ketika itu disebabkan oleh pemilihan perkataan yang aku lontarkan adalah perkataan yang tidak bombastik langsung. Aku cuma menggunakan apa perkataan yang terlintas di dalam kepala ketika itu dan aku berasa sungguh kecewa dengan diri sendiri.


Ingat dengan kata-kata ini :

Allah tidak memberi apa yang kita harapkan tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan. Kadang kala kita sedih, kecewa, terluka tetapi jauh di atas sana DIA sedang mengaturkan yang terbaik dalam kehidupan kita. Jalan yang dipilih oleh Allah itu akan indah pada masanya.

Semoga kita berjumpa lagi di lain entri. Terima kasih kerana sudi membaca coretanku yang tidak seberapa ini.







Salam sayang ❤️
Nur Syazwani





Gambar 1: 
Keputusan permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam




19 July 2020

PENGALAMAN INTERVIEW SARJANA MUDA SASTERA DENGAN PENDIDIKAN USM

Assalamualaikum semua ❤️


Hari ini aku nak share dengan korang tentang pengalaman aku interview untuk Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (Kepujian) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Buat pengetahuan semua aku merupakan bekas pelajar Tingkatan 6 yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)  pada tahun 2018 dan memperolehi purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.75. Alhamdulillah berkat usaha dan doa daripada ibu bapa, guru-guru serta dorongan daripada rakan-rakan aku berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini aku sedang mengikuti kursus pendidikan.

19/6/2019 ❤️

Itu merupakan tarikh keramat bagi aku kerana pada tarikh tersebut aku dipanggil untuk mengikuti interview kursus pendidikan. Alhamdulillah syukur padamu Ya Allah. Sungguh aku bersumpah aku berasa amat gementar kerana aku takut aku akan mengecewakan ibu bapa aku sekali lagi. Hal ini kerana aku pernah mengalami kegagalan dalam mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sewaktu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun atas nasihat dan dorongan daripada semua pihak aku mendapat kekuatan untuk meneruskan jua perjuangan ini.

Sebenarnya aku bukanlah seorang yang petah berbicara di khalayak ramai namun aku cuba untuk  keluar daripada kepompong 'introvert' dan aku cuba sedaya upaya juga untuk membuang perasaan malu yang ada dalam diri aku. Aku mendapat semangat dan dorongan daripada orang sekelilingku. Maka tibalah masanya untuk aku melakukan yang terbaik demi membanggakan mereka semua.

Semasa menunggu giliran untuk diinterview aku berasa resah sekali. Fikiranku menjadi tidak tenang, jantung berdegup dengan sangat laju, tangan dan kakiku juga berpeluh namun aku tetap cuba untuk menunjukkan reaksi yang setenang mungkin dengan sentiasa tersenyum kepada semua orang. Oh ya buat pengetahuan semua semasa aku menjalani proses interview, aku dan beberapa orang rakan yang lain akan dibentukkan menjadi satu kumpulan. Kalau tidak silap aku ada di antara lima atau enam orang di dalam satu kumpulan. Tetapi jangan salah faham ya interview adalah dilakukan secara individu dan bukannya secara berkumpulan seperti interview di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya tibalah giliran aku dipanggil untuk masuk ke dalam bilik temuduga. Semasa melangkah masuk ke dalam bilik tersebut aku mulakan langkah dengan kaki kanan dan aku terus memberikan salam kepada ahli panel. Di dalam bilik tersebut aku dapat melihat dua orang panel penemuduga iaitu seorang lelaki (Melayu) dan seorang perempuan (Cina). Aku berjalan menuju ke arah mereka sambil memberikan senyuman yang manis dan kemudian aku dipelawa untuk duduk. Setelah membetulkan posisi kedudukan aku dengan selesa maka bermulalah sesi soal jawab.

Sebelum sesi soal jawab bermula, aku diminta untuk membacakan teks yang terdapat di hadapan panel penemuduga. Terdapat dua teks iaitu teks dalam bahasa Melayu dan teks dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana aku mendapat kursus sastera maka aku diminta untuk membacakan teks bahasa Melayu. 

Berikut merupakan antara beberapa soalan yang diajukan oleh panel penemuduga kepada aku :

1. Sila perkenalkan diri anda. (pertanyaan dalam bahasa Inggeris)
2. Kenapa kamu berminat untuk menjadi guru? (pertanyaan dalam bahasa Inggeris)
3. Kamu berminat untuk mengajar subjek apa? Mengapa? (pertanyaan dalam bahasa Inggeris)
4. Apakah sifat yang perlu ada pada seseorang guru? (pertanyaan dalam bahasa Inggeris)
5. Jika kami tukarkan opsyen pengajaran anda, adakah anda sanggup?
6. Adakah USM pilihan pertama anda? Mengapa?
7. Andai kata kalau kamu tak dapat belajar di USM macam mana?
8. Apakah pilihan universiti kedua kamu?
9. Apakah jawatan yang disandang oleh kamu semasa di sekolah?
10. Siapakah nama penolong kanan pentadbiran sekolah kamu?
11. Apakah kelemahan yang ada pada diri kamu? 
12. Ada lesen memandu?
13. Sila tunjukkan demo mengajar.

Alhamdulillah proses interview berjalan dengan baik walaupun rasa gugup dan gementar itu masih ada. Maka aku pun bangun lalu mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua panel penemuduga dan bersedia untuk melangkah keluar. Tetapi sebelum aku melangkah keluar dari pintu salah seorang ahli panel masih sempat lagi memberikan aku satu lawak jenaka. Beliau bertanya kepadaku 'Gajah mati, pokok sena kalau gabung jadi apa?' dan aku berasa seperti 'blur' ketika itu kerana pertanyaan beliau tidak begitu jelas kedengaran di telingaku lalu aku hanya menjawab apa yang terlintas di fikiran dan terus aku berkata 'Gajah Mati Langgar Pokok Sena?'. Terus beliau tergelak dan berkata 'Ha pandai, pandai' dan aku sekali lagi ditampar oleh perasaan terpinga-pinga. Aku hanya menganggap beliau sedang cuba untuk menenangkan diriku yang nampak resah barang kali.

Setelah selesai semuanya, aku melangkah keluar dari pintu dan terus memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan lain yang sedang menunggu giliran. Kemudian aku menyantuni petugas yang mengiringi kami sebentar tadi sebelum aku berlalu pergi mencari ahli keluargaku yang masih setia menunggu tanpa jemu. 

Sekian sahaja cerita tentang pengalaman aku menjalani interview kursus pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Terima kasih kerana sudi membaca coretanku yang tidak seberapa ini. Semoga kita berjumpa lagi di lain entri.

Ingat dengan kata-kata ini :

Rezeki ada di mana-mana, ia datang tanpa diduga dan akan datang tepat pada masanya. Yang penting usaha dan tawakkal. Kejayaan itu tercipta hasil daripada kegagalan dan jangan kamu kecewa jika gagal kerana kegagalan itu adalah permulaan untuk menempuh kejayaan.








Salam sayang ❤️
Nur Syazwani










NOTA TAMBAHAN :

Flow interview :

1. Kumpulan yang telah dibentuk akan diiringi ke tempat interview oleh kakitangan USM yang bertugas ketika itu.
2. Calon akan diberikan sehelai borang pernyataan hasrat untuk diisi.
3. Calon diminta bersedia untuk diinterview. Sila tunggu giliran anda ya.
4. Setelah mendengar bunyi loceng, calon yang seterusnya boleh masuk ke bilik temuduga.
5. Do your best and good luck.



Gambar 1 :
 Slip kehadiran temu duga USM



Gambar 2 : 
Contoh borang pernyataan hasrat (ini merupakan borang semasa aku interview di IPG dulu tapi jangan risau formatnya masih sama InshaAllah)